Showing posts with label suruhanjaya syarikat malaysia. Show all posts
Showing posts with label suruhanjaya syarikat malaysia. Show all posts

Saturday, February 19, 2011

BERITA HARIAN ONLINE: Pelabur rugi lebih RM100 juta sertai pelaburan sejak dua tahun lalu


KUALA LUMPUR: Kira-kira 50,000 pelabur kerugian lebih RM100 juta kerana menyertai pelaburan penternakan cacing, lintah, sarang burung layang-layang, lembu dan kafe ala kopitiam di seluruh negara sejak dua tahun lalu. Menggunakan status syarikat skim berkepentingan, lima syarikat terbabit dipercayai menyalahgunakan lesen perniagaan masing-masing, walaupun berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pengarah Kanan Penguatkuasaan SSM, Mohammad Redzuan Abdullah, berkata dua daripada syarikat itu sudah didakwa dan beberapa lagi akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.

Katanya, satu daripada lima syarikat berkenaan, Island Red Cafe Franchise Sdn Bhd sudah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan menipu dan memperdayakan pelabur membabitkan pelaburan RM16 juta.

Baru-baru ini, SSM menyerbu Hadhari Cattle Industry Sdn Bhd dan Hadhari Agro Holding Sdn Bhd kerana dipercayai mempengaruhi orang awam untuk melabur dalam skim 'Projek Pembangunan Usahawan'. Difahamkan, pelabur skim itu tidak menerima pulangan seperti dijanjikan pengurusan syarikat berkenaan.

Mohammad Redzuan berkata, modus operandi lima syarikat berkenaan ialah menawarkan saham serendah RM1,000 seunit dan menjanjikan pulangan sehingga 10 kali ganda daripada nilai pelaburan, selain insentif lain seperti kupon makanan, pakej pelancongan dan kad diskaun.
Ada syarikat menawarkan pakej pembayaran pelaburan secara ansuran bulanan untuk menarik lebih ramai menyertai skim mereka, malah sesetengah syarikat menggunakan kaedah perniagaan pelbagai peringkat (MLM) dengan pelbagai strategi pemasaran, termasuk menggunakan selebriti dan VIP.

Serentak itu, SSM kini memburu syarikat yang menganjurkan skim pelaburan sedemikian atau menyalahgunakan skim berkepentingan, terutama dalam sektor pertanian dan inovasi baru.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, SSM menerima 90 aduan membabitkan skim pelaburan berkepentingan dan daripada jumlah itu, 60 adalah syarikat yang tidak tahu mereka melanggar peraturan skim berkepentingan serta diberi notis sebelum mematuhi mengikut peraturan ditetapkan SSM.

"Bagaimanapun, kebanyakan daripada 60 syarikat itu mengambil keputusan menutup operasi dan tidak meneruskan skim berkepentingan, sebaliknya meneruskan perniagaan seperti biasa mengikut Akta Syarikat 1965.

"Selain itu, 10 syarikat dikenal pasti degil dan meneruskan skim berkepentingan. Notis sudah dikeluarkan dan ada yang meminta diberi tempoh untuk mematuhi syarat ditetapkan.

"Bagi yang masih ingkar, kita sudah mengumpulkan bukti dan saksi untuk mendakwa mereka di mahkamah," katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menerima aduan kes itu, tetapi sukar bertindak kerana kekurangan bukti sebelum menyalurkan maklumat kepada SSM bagi membolehkan tindakan diambil.

Selain polis, SSM bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Bank Negara jika kes membabitkan aktiviti pengambilan deposit haram atau melanggar peraturan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, ramai pelabur tidak mengetahui skim berkepentingan hanya boleh dijalankan syarikat berstatus berhad (Bhd), bukannya syarikat sendirian berhad (Sdn) atau berstatus syarikat perniagaan tunggal.

"Syarikat yang menganjurkan skim berkenaan perlu mempunyai prospektus, surat ikatan amanah antara pelabur dengan syarikat dan terma serta pemegang amanah syarikat. Jika ketiga-tiga syarat tidak dipenuhi, pelabur tidak wajar menyertai skim kepentingan ini," katanya.

Beliau mendedahkan kebanyakan syarikat yang menganjurkan skim berkepentingan berdaftar dengan SSM, namun statusnya sebagai syarikat sendirian berhad tidak melayakkannya menganjurkan skim itu.

Justeru, katanya, pengguna perlu menyemak dengan SSM jika ditawarkan mana-mana pelaburan skim berkepentingan untuk mengetahui status syarikat yang menganjurkan skim pelaburan itu.

"SSM memandang berat kes ini kerana mahu melindungi kepentingan pelabur, terutama berpendapatan rendah atau mereka yang melabur menggunakan wang pencen, gratuiti, wang simpanan dan pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB)," katanya.

Petikan artikel oleh
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my 
2010/03/28

Thursday, February 10, 2011

Artikal mengenai Nasihat Suruhanjaya Syarikat



KUALA LUMPUR 12 Jan. – Orang ramai dinasihati menyemak senarai syarikat yang menawarkan skim pelaburan dengan agensi kerajaan dalam bidang berkaitan bagi mengelak daripada ditipu, kata Pengarah Kanan Penguatkuasaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhammad Redzuan Abdullah.

Beliau berkata, jika sesebuah tawaran pelaburan berkaitan bidang pertanian, pelabur dan pengusaha boleh merujuk pejabat-pejabat pertanian untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu tentang kemajuan dan kemampuan syarikat tersebut beroperasi.

Muhammad Redzuan berkata, langkah itu penting bagi mengelak kejadian seperti yang berlaku terhadap 3,000 pelabur penternakan cacing di Kulim, Kedah yang kerugian lebih RM25 juta, berulang.
Beliau memberitahu, SSM tidak boleh melakukan penyiasatan dan mengganggu operasi sesebuah syarikat selagi tiada dakwaan rasmi dibuat.

“Bagaimanapun, untuk kes ini, SSM segera membuat penyiasatan, dan jika sabit kesalahan, penganjur skim itu, Kulim Worms Agrotec (KWA)(M) Sdn Bhd, boleh didakwa mengikut akta syarikat, sekali gus dikenakan denda atau dipenjara,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas, SSM berjaya menyelesaikan 30 daripada 61 aduan yang melibatkan 161 jenis pelaburan skim berkepentingan iaitu yang mirip dengan pelaburan penternakan cacing.

Muhammad Redzuan berkata, kes-kes penipuan berlaku kerana sesebuah syarikat yang berdaftar dengan SSM tidak melaporkan aktiviti operasi perniagaan sebagai proses pemantauan.

“Bukan kita yang sepatutnya bertanggungjawab memantau sesebuah syarikat, namun kita boleh mengenakan hukuman jika mendapati ada syarikat yang melanggar undang-undang yang diperuntukan mengikut akta SSM,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Roseley Khalid dalam kenyataan semalam berkata, kementerian itu menyediakan senarai nama syarikat yang berkemampuan menawarkan pakej latihan dan berupaya memasarkan suatu produk.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian tidak terlibat dengan mana-mana wakil syarikat pelaburan tetapi hanya memberikan khidmat nasihat teknikal bagi membantu pengusaha mengurangkan kos pengeluaran.

Dalam laman web MOA, tersenarai 58 usahawan dan syarikat yang dipantau oleh kementerian itu. 


Petikan artikle ini adalah daripada SME Corp Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...